Presiden Datus United FC Tekankan Disiplin, Kerja Berpasukan & Sasaran Kejohanan
SRI AMAN: Disiplin tinggi, kerja berpasukan mantap dan sasaran kejohanan yang jelas perlu menjadi fokus utama Datus United FC dalam menghadapi Petronas Youth Football Championship League 2025 yang dijadualkan berlangsung di Kuching pada minggu hadapan.
Presidennya, Awang Putrayusrie Awang Redzuan berkata, kejayaan dalam kejohanan berprestij itu tidak hanya bergantung kepada kemahiran individu pemain, tetapi turut memerlukan komitmen menyeluruh daripada setiap anggota pasukan termasuk barisan kejurulatihan dan pengurusan.
“Disiplin di dalam dan luar padang, semangat kerja berpasukan serta fokus terhadap sasaran yang telah ditetapkan adalah kunci utama untuk mencapai keputusan yang membanggakan.
"Saya mahu semua pemain bermain sebagai satu pasukan dan membawa nama Datus United FC dengan penuh tanggungjawab,” katanya semasa acara simbolik penyerahan 'armband' pasukan pada Jumaat.
Beliau turut berharap agar kejohanan berkenaan dapat dimanfaatkan sebagai platform untuk meningkatkan prestasi, membina keyakinan diri serta membentuk mentaliti juara dalam kalangan pemain muda.
Ujarnya, persiapan rapi dan semangat juang yang tinggi diyakini mampu memberi saingan terbaik dalam kejohanan berprestij tersebut.
Sementara itu, Residen Bahagian Sri Aman, Mahra Salleh turut hadir menyertai sesi bergambar bersama pasukan serta acara simbolik penyerahan ‘armband’ pasukan sebagai tanda sokongan dan dorongan moral kepada para pemain yang bakal beraksi.
Beliau turut menyampaikan pesanan agar para pemain sentiasa menjaga nama baik Sri Aman dan pasukan sepanjang kejohanan berlangsung dengan menitikberatkan disiplin, semangat kesukanan serta sikap profesional di dalam dan di luar padang.
“Setiap pemain membawa nama Sri Aman dan pasukan maka bermainlah dengan penuh komitmen, berdisiplin serta mempamerkan prestasi terbaik.
"Menang atau kalah, jaga adab dan semangat kesukanan,” katanya. -EDISI UKAS