ADUN Lingga Suntik Moral Kepada Skuad Datus United FC
SRI AMAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor menyuntik moral skuad Datus United FC sebelum bergerak ke Kuching untuk menyertai Petronas Youth Football Championship League 2025 dalam satu majlis ringkas di Terminal Bas Sri Aman pada Jumaat.
Dalam perkongsian ringkasnya, Dayang Noorazah menyeru agar para pemain memanfaatkan peluang menyertai kejohanan tersebut sebaik mungkin dengan bermain secara bersungguh-sungguh, berdisiplin serta mempamerkan semangat kesukanan yang tinggi.
Jelasnya, setiap perlawanan merupakan medan pembelajaran yang penting dalam membentuk mentaliti, ketahanan fizikal serta kematangan pemain muda.
“Menang atau kalah adalah perkara biasa dalam sukan, namun apa yang lebih utama ialah disiplin, sikap dan nilai yang dibawa oleh para pemain di dalam dan di luar padang.
"Anda semua membawa nama kelab, keluarga serta nama Simanggang,” katanya.
Dayang Noorazah turut menzahirkan tahniah kepada pihak pengurusan kelab, barisan jurulatih serta ibu bapa yang sentiasa memberikan sokongan berterusan terhadap pembangunan sukan bola sepak belia di kawasan tersebut.
Menurut beliau, usaha berterusan dalam mencungkil dan membimbing bakat muda perlu diteruskan bagi melahirkan atlet yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang sukan, malah seimbang dari segi akademik dan sahsiah diri.
Dalam pada itu, beliau turut menekankan kepentingan pembentukan jati diri dan kekuatan rohani dalam kalangan pemain, khususnya menjaga solat serta mengamalkan nilai-nilai agama walaupun berada dalam suasana pertandingan dan jadual perlawanan yang padat.
Ujarnya, keseimbangan antara fizikal, mental dan spiritual adalah elemen penting dalam melahirkan atlet yang berdaya tahan serta berakhlak mulia.
"Saya berharap agar para pemain sentiasa menjaga adab, mematuhi peraturan pertandingan dan menjadikan kejohanan tersebut sebagai platform untuk menimba pengalaman serta meningkatkan tahap prestasi masing-masing," tegasya. -EDISI UKAS