Fiesta Bowling LCDA Bersama Media Perkukuh Kerjasama Strategik
KUCHING: Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA) menganjurkan Fiesta Bowling LCDA Bersama Media 2025 sebagai usaha memperkukuh hubungan kerjasama strategik antara agensi itu dan rakan-rakan media, bertempat di Megalanes Sarawak Batu Kawa, di sini, pada Sabtu.
Ketua Pegawai Eksekutif Puncak Borneo Development Sdn Bhd (PBDSB) Zuraimy Kusyaili, yang mewakili Pengurus Besar LCDA berkata, program tersebut berfungsi sebagai platform interaksi dua hala dalam suasana santai bagi merapatkan hubungan profesional antara pegawai LCDA dan pengamal media.
Beliau berkata, kerjasama erat antara LCDA dan media amat signifikan dalam memastikan penyampaian maklumat yang tepat, sahih dan berfakta kepada orang awam, khususnya dalam era penyebaran maklumat yang berlaku dengan pantas.
“Sebagaimana kita sedia maklum, sekarang ini maklumat bergerak dengan terlalu pantas, kadang kita belum lagi mengeluarkan kenyataan media, maklumat sudah sampai.
“Tapi apa yang penting bagi kita adalah dengan kerjasama yang jitu dan erat dengan rakan-rakan media, kita percaya yang maklumat yang disampaikan hendaklah tepat dan menemui matlamatnya.
“Lebih-lebih lagi kita tidak mahu maklumat-maklumat yang tidak sahih, yang tidak tepat, yang tidak betul disampaikan,” katanya ketika ditemui pemberita semasa program berkenaan.
Menurut Zuraimy, program berkenaan disertai kira-kira 70 hingga 80 peserta, terdiri daripada beberapa agensi media utama antaranya Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Kuching Division Journalists Association (KDJA), Sarawak Media Group (SMG) dan agensi media yang lain serta penglibatan warga LCDA.
Turut hadir ialah Pengurus Kanan Hal Ehwal Korporat LCDA Saiful Bahari Amra Ramly.-EDISI UKAS