Kejohanan Bola Sepak U9 & U12 Mukah Perkasa Pembangunan Akar Umbi
MUKAH: Kejohanan Bola Sepak Bawah 12 Tahun (U12) dan Bawah 9 Tahun (U9) bagi merebut Piala Pusingan YB Royston Valentine menjadi platform penting dalam memperkasa pembangunan bola sepak akar umbi di Bahagian Mukah.
Kejohanan hasil kerjasama antara Kelab Sukan dan Rekreasi Leetonia Jr, Akademi Bola Sepak Setiaraja Mukah serta Pusat Khidmat N57 Tellian yang berlangsung di Padang Sekolah Kebangsaan Datuk Awang Udin, Mukah itu melibatkan penyertaan lapan pasukan bagi setiap kategori yang dipertandingkan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian Royston Valentine hadir menyempurnakan majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang pada Sabtu, sekali gus memberi sokongan moral kepada pemain cilik yang bertanding.
Dalam Kategori Bawah 9 Tahun (U9), Setiaraja Mukah A muncul juara, diikuti Setiaraja Mukah B selaku naib juara dan Setiaraja Mukah C di tempat ketiga.
Bagi Kategori Bawah 12 Tahun (U12), Igan FC U12 dinobatkan sebagai juara sekali gus menjulang Piala Pusingan YB Royston Valentine, diikuti Setiaraja Mukah C di tempat kedua dan Leetonia Jr U12 di tempat ketiga.
Turut hadir memeriahkan majlis ialah Pengarah Teknikal Akademi Pembangunan Bola Sepak Setiaraja Mukah Jamal Wasli serta Jurulatih Akademi Mohamad Firdaus Jamal.-EDISI UKAS