Datuk Ding Hadiri Sambutan Gawai Antu Di Rumah Dangat
BINTANGOR: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong Datuk Ding Kuong Hiing berkesempatan menghadiri Majlis Sambutan Gawai Antu yang berlangsung di Rumah Dangat, Sungai Kawi di sini pada Sabtu.
Majlis tradisi itu disertai kira-kira 10 pintu rumah panjang yang meraikan sambutan tersebut mengikut adat serta amalan turun-temurun masyarakat Dayak.
Gawai Antu merupakan salah satu upacara terpenting bagi menghormati roh nenek moyang selain melambangkan kekayaan budaya yang terus dipelihara sehingga kini.
Berucap dalam majlis tersebut, Datuk Ding menyatakan sokongan berterusan beliau terhadap usaha mengekalkan adat, budaya dan tradisi masyarakat Dayak agar tidak luput ditelan zaman.
"Saya menzahirkan penghargaan kepada penduduk Rumah Dangat kerana terus mempertahankan amalan tradisi yang menjadi identiti serta jati diri masyarakat setempat," katanya.
Datuk Ding menambah, majlis tersebut bukan sahaja menjadi platform untuk memperingati warisan nenek moyang, malah turut berperanan mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan penduduk rumah panjang serta komuniti sekitar.
Ujarnya, sambutan ini juga mencerminkan semangat perpaduan dan kerjasama yang kukuh dalam kalangan masyarakat tanpa mengira perbezaan. -EDISI UKAS