MERADONG: Sambutan perayaan bukan sekadar acara tradisi atau keagamaan, sebaliknya berperanan penting sebagai platform memupuk toleransi, persefahaman dan hubungan harmoni dalam masyarakat berbilang kaum serta agama.
Justeru, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing menyatakan sokongan berterusan beliau terhadap penganjuran program kemasyarakatan dan kebudayaan yang dianjurkan oleh persatuan-persatuan tempatan, khususnya yang melibatkan perpaduan masyarakat berbilang kaum dan agama di kawasan Meradong dan sekitarnya.
"Saya mengucapkan terima kasih atas usaha berterusan mereka dalam menganjurkan aktiviti yang bukan sahaja memelihara nilai budaya dan tradisi, malah turut mengukuhkan hubungan silaturahim serta persefahaman dalam kalangan masyarakat," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Sambutan Krismas anjuran Persatuan Liu Kwee Tang Wilayah Tengah Sarawak di sebuah restoran, di sini, pada Sabtu.
Sebagai tanda sokongan, Datuk Ding turut mengumumkan peruntukan Geran Khas projek kecil luar bandar (MRP) berjumlah RM5,000 kepada Persatuan Liu Kwee Tang Wilayah Tengah Sarawak bagi menyokong pelaksanaan aktiviti tahunan persatuan bagi tahun 2026.
Menurut beliau, sumbangan tersebut diharapkan dapat membantu persatuan merancang dan melaksanakan program-program yang lebih tersusun, berimpak serta memberi manfaat kepada ahli-ahli persatuan dan masyarakat setempat.
Beliau juga menegaskan komitmen berterusan beliau sebagai wakil rakyat untuk terus menyokong persatuan dan badan bukan kerajaan (NGO) yang aktif menyumbang ke arah pembangunan sosial, kebudayaan dan keharmonian masyarakat di kawasan Meradong. -EDISI UKAS