Kekalkan Semangat Segulai Sejalai Antara Rakyat, Pemimpin
SPAOH: Semangat ‘Segulai Sejalai’ yang menjadi asas perpaduan masyarakat pelbagai kaum dan agama perlu dikekalkan sebagai elemen penting dalam membina hubungan erat antara rakyat dan pemimpin.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, ia sebagai elemen penting dalam membina hubungan erat antara rakyat dan pemimpin.
"Ini sekali gus memudahkan pelaksanaan lebih banyak inisiatif pembangunan demi kesejahteraan masyarakat di kawasan Bukit Saban," katanya ketika dalam Majlis Rumah Terbuka Krismas Tahun 2025 Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) N.37 Bukit Saban di Dewan Masyarakat Spaoh pada Sabtu.
Dalam pada itu, Datuk Amar Douglas memberitahu, penganjuran rumah terbuka Krismas ini bertujuan mengukuhkan semangat muhibah serta mempererat hubungan antara pemimpin dan rakyat, di samping meraikan sambutan tersebut dalam suasana harmoni dan saling menghormati.
Ujarnya, para pengunjung yang hadir berpeluang beramah mesra bersama barisan kepimpinan serta menikmati jamuan yang disediakan, menjadikan majlis berkenaan sebagai platform berkesan untuk memperkukuh perpaduan komuniti tanpa mengira kaum dan agama.
Turut hadir, Ahli Parlimen Betong Dato Dr Richard Rapu, Setiausaha Politik Kepada Premier Sarawak Roseline Mapong Sabai, Pegawai Daerah Betong Laga Kueh serta dif kenamaan lain. -EDISI UKAS