Penduduk Di Tebingan Sungai Di Pulau Bruit Diingatkan Waspada Ancaman Buaya
DARO: Penduduk khususnya kanak-kanak dan remaja yang sedang bercuti sekolah dinasihatkan supaya lebih berwaspada ketika berada di kawasan tebingan sungai, terutama di Pulau Bruit, berikutan ancaman buaya yang dilaporkan semakin kerap kelihatan di kawasan penempatan penduduk.
Nasihat tersebut ditegaskan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol, susulan satu insiden serangan reptilia ganas itu yang berlaku di Rumah Jingga, Kelai, Pulau Bruit melibatkan seorang remaja lelaki berusia 14 tahun pada Jumaat lepas.
Menurut beliau, kejadian berkenaan merupakan kejadian pertama seumpamanya berlaku di penempatan masyarakat Iban di pulau berkenaan, sekali gus memberi peringatan tentang risiko yang wujud di kawasan penempatan berhampiran sungai.
“Di sebalik kejadian ini, saya ingin menasihatkan semua adik-adik yang sedang bercuti sekolah, terutamanya mereka yang tinggal di kawasan tebingan sungai, supaya sentiasa berhati-hati kerana telah dilaporkan terdapat banyak buaya berkeliaran mencari makanan dan sebagainya di kawasan antara Daro, Serdeng serta sekitar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melawat keluarga mangsa serta meninjau operasi mencari dan menyelamat (SAR) di Rumah Jingga, Kelai, Pulau Bruit, pada Ahad.
Datuk Abdullah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop berkata, kawasan tebingan sungai di Pulau Bruit merupakan nadi kehidupan penduduk setempat yang majoritinya bergantung kepada aktiviti menangkap ikan dan menjala sebagai sumber rezeki, justeru aspek keselamatan perlu diberi perhatian serius.
Beliau juga menegaskan mengenai cadangan langkah segera iaitu pemasangan papan tanda amaran bersaiz besar di lokasi berisiko tinggi bagi memberi peringatan jelas kepada penduduk dan pengunjung tentang ancaman buaya di kawasan berkenaan.
Selain itu, beliau menzahirkan harapan agar satu survei akan dijalankan bagi menilai jumlah buaya yang berkeliaran di kawasan terbabit dan pertimbangan keperluan tindakan susulan termasuk pengurusan populasi buaya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Tanjung Manis Dato Ir Yusuf Abdul Wahab turut menasihatkan penduduk untuk sentiasa berhati-hati ketika berada di tepi sungai, sama ada untuk mencari rezeki atau bersantai.
“Kita tidak dapat mengawal jumlah buaya, tetapi kita boleh mengawal aktiviti kita. Jangan galakkan anak-anak bermain di tepi sungai.
“Ambil langkah berjaga-jaga, elakkan kawasan yang diketahui banyak buaya, dan jangan pergi seorang diri. Jika berlaku sesuatu, rakan yang bersama dapat membantu,” ujarnya.-EDISI UKAS