Penyelarasan Bersepadu Pacu Pembangunan Sosio-Ekonomi Samarahan
KOTA SAMARAHAN: Pendekatan pembangunan sosio-ekonomi di Bahagian Samarahan kini diperkasa melalui penyelarasan lebih menyeluruh antara agensi pelaksana, bagi memastikan setiap projek memberi impak langsung kepada kesejahteraan rakyat.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah merangkap Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang berkata, keutamaan kini tertumpu kepada pemantauan rapi pelaksanaan projek serta perancangan strategik yang lebih bersepadu.
Menurut beliau, peluasan skop jawatankuasa daripada fokus pelancongan kepada pembangunan sosio-ekonomi mencerminkan keperluan semasa yang menuntut pendekatan lebih holistik.
“Pelaporan kemajuan projek secara berkala serta penyelarasan antara agensi teknikal amat penting bagi memastikan setiap inisiatif dapat dilaksanakan mengikut perancangan dan mencapai sasaran,” katanya semasa mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa Sosio-Ekonomi (IRSDA) di sini, hari ini.
Beliau turut menegaskan bahawa kerjasama erat antara pihak berkuasa tempatan seperti Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS), Majlis Daerah Simunjan (MDS) dan Majlis Daerah Gedong (MDG), bersama agensi teknikal termasuk Jabatan Tanah dan Survei serta Jabatan Kerja Raya (JKR) Samarahan, menjadi pemangkin kepada kejayaan pelaksanaan projek.
Dalam pada itu, penilaian terhadap status semasa projek serta perancangan inisiatif baharu terus diberi perhatian bagi merangsang pertumbuhan ekonomi setempat dan meningkatkan taraf hidup komuniti.
Hadir sama, Timbalan Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pelabuhan Sarawak (Pembangunan Infrastruktur), Datuk Ir Aidel Lariwoo, Pegawai Daerah Samarahan Ahmad Abdul Razak, Pegawai Daerah Asajaya Jerry Zainuddin Bidin, Pegawai Daerah Gedong Jamain Wahab dan Pegawai Daerah Simunjan Sanuyah Mohamad.-EDISI UKAS