Kuching Bakal Cipta Sejarah, IBFWYC26 Tarik Lebih 300 Pemain & Pegawai
KUCHING: Lebih 300 pemain tenpin boling remaja termasuk pegawai dari seluruh dunia bakal berkampung di Bandaraya Kuching untuk menyertai Kejohanan Remaja Dunia IBF 2026 (IBFWYC26) dijadual berlangsung dari 27 Jun hingga 7 Julai depan di Megalanes Sarawak, Batu Kawa.
Menurut Persatuan Tenpin Boling Amatur Sarawak (ABAS), setakat ini, 37 negara dari seluruh dunia telah mengesahkan penyertaan namun jumlah itu dijangka bertambah dari semasa ke semasa.
Negara-negara tersebut ialah Turki, Korea Selatan, Sweden, Rusia, Guam, Switzerland, Qatar, New Zealand, Itali, Thailand, Singapura, Bahamas, Finland, Indonesia, Romania, Amerika Syarikat, Lithuania, Republik Chech, Jepun, Peru, Kanada, Scotland, China, Mexico, Australia, Malaysia, Colombia, Guatemala, Filipina, Hong Kong, Macau, Sepanyol, Vietnam, Arab Saudi, Malta, Emiriah Arab Bersatu dan Taiwan.
Ia akan mempertandingkan kategori perseorangan, berdua, berpasukan dan berpasukan campuran lelaki dan wanita, sekali gus menjanjikan persaingan sengit.
Bagi memastikan kelancaran penganjuran, satu mesyuarat telah diadakan melibatkan Unit Komunikasi Awam Sarawak, TVS dan Persatuan Tenpin Boling Amatur Sarawak (ABAS) bertempat di Ibu Pejabat UKAS di sini pada Isnin.
Mesyuarat tersebut memfokuskan kerjasama antara ABAS bersama UKAS dan TVS dari aspek penyiaran serta liputan media sepanjang kejohanan dunia itu berlangsung selama 10 hari kelak.
Hadir mempengerusikan mesyuarat ialah Timbalan Pengarah UKAS, Joachim Paggang Labong manakala delegasi ABAS diketuai Pengurus Logistik dan Venue IBFWYC26, Jackie Ting Nik Chai.
Antara yang turut disentuh mengenai cadangan penubuhan jawatankuasa pengurusan media bagi mengkoordinasikan liputan media semasa kejohanan berlangsung kelak.
Sarawak khasnya Kuching bakal melakar sejarah menjadi tuan rumah kejohanan dunia tersebut selepas kali terakhir dianjurkan di Malaysia pada 2003.
Ia akan menjadi pentas terbaik kepada pemain-pemain remaja negara khasnya dari Sarawak untuk menimba pengalaman berharga bersaing dengan peserta terbaik dari pelbagai negara luar.
Pada masa sama, IBFWYC26 akan membantu mempromosikan Sarawak sebagai lokasi terkemuka kejohanan tenpin boling di rantau Asia, sekali gus mengetengahkan keunikan Bumi Kenyalang di mata dunia. - EDISI UKAS