Sarawak Dijangka Jadi Tuan Rumah Majlis Tilawah & Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan
KUCHING: Sarawak dijangka menjadi tuan rumah Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan pada tahun hadapan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan berkata, penganjuran tersebut memerlukan penyelarasan rapi antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak.
"Jadi akan ada penyelarasan perkongsian penganjuran di mana ada bahagian Sarawak, ada bahagian Persekutuan, jadi perkara tersebut memerlukan persetujuan serta lampu hijau terutamanya dari Premier Sarawak," katanya.
Beliau bercakap demikian dalam satu kenyataan selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg di Kompleks Satria Pertiwi, di sini, pada Isnin.
Kunjungan tersebut merupakan lawatan kerja pertama beliau ke Sarawak sejak dilantik sebagai menteri pada 16 Disember 2025.
Selain itu, kunjungan itu turut bertujuan memperkukuhkan hubungan antara Kerajaan Persekutuan dan Sarawak khususnya dalam aspek pengurusan Hal Ehwal Islam.
Katanya, kerjasama sedia ada melibatkan pelbagai bidang termasuk pengurusan Lembaga Tabung Haji, dakwah serta pendidikan Islam yang akan terus diperkasa dari semasa ke semasa.
Selain itu tambahnya, Sarawak juga mempunyai institusi penting seperti Institut Kemahiran Islam Malaysia Sarawak di Kuching serta Institut Latihan Islam Malaysia yang telah lama beroperasi sejak tahun 1980-an. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Hazrin Sunaini