Program Solidariti Komuniti Perkukuh Perpaduan Masyarakat di Bahagian Sibu
SIBU: Program Solidariti Komuniti Peringkat Bahagian Sibu 2026 menjadi platform penting dalam memperkukuh perpaduan masyarakat serta menyampaikan maklumat tepat kepada rakyat di peringkat akar umbi.
Residen Bahagian Sibu, Abang Mohamad Porkan Abang Budiman berkata masyarakat perlu menilai dan menapis setiap maklumat yang diterima, khususnya melalui media sosial, bagi mengelakkan penyebaran berita tidak tepat yang boleh menjejaskan keharmonian komuniti.
Menurutnya, penyebaran maklumat tidak sahih di platform seperti Facebook dan TikTok berpotensi mencetuskan salah faham serta menjejaskan perpaduan masyarakat sekiranya tidak ditangani dengan bijak.
“Dalam dunia media moden hari ini, maklumat bergerak pantas. Jika kita tidak menapisnya, ia boleh memecah-belahkan masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Solidariti Komuniti Peringkat Bahagian Sibu 2026 yang berlangsung di Rumah Dick, Batu 8, Jalan Oya Lama pada Sabtu.
Tambah beliau, program seumpama itu juga menjadi medium bagi kerajaan menyampaikan maklumat tepat selain memberi ruang kepada masyarakat untuk menyuarakan pandangan serta permasalahan di peringkat komuniti.
Mengulas mengenai pembangunan negeri, beliau berkata Sarawak kini berada di landasan kukuh dengan pelbagai kemajuan dalam sektor infrastruktur dan ekonomi hasil kestabilan kerajaan serta sokongan berterusan rakyat.
Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat agar terus menyokong usaha kerajaan dalam memacu pembangunan negeri di samping mengekalkan keharmonian serta perpaduan dalam kalangan masyarakat.
Program tersebut menghimpunkan pelbagai agensi kerajaan, pemimpin komuniti serta masyarakat setempat dalam usaha memperkukuh hubungan antara kerajaan dan rakyat.-EDISI UKAS