Penganjur Acara Hiburan Diingatkan Peka Sensitiviti Budaya Masyarakat
KUCHING: Kerajaan Sarawak mengingatkan semua penganjur acara hiburan supaya memastikan pengisian program selari dengan sensitiviti budaya dan adat masyarakat tempatan, khususnya bagi acara berskala besar yang melibatkan orang awam.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, kerajaan tidak menolak penganjuran acara hiburan atau sambutan malam ambang Tahun Baharu, namun pengisiannya mesti sesuai dan tidak mencetuskan kegusaran dalam kalangan masyarakat.
“Kalau nak diadakan sambutan ‘countdown’, tidak ada masalah. Persembahan nyanyian juga tidak menjadi isu. Namun, jangan dicemarkan sambutan tersebut dengan budaya yang tidak sihat dan tidak sesuai dengan nilai masyarakat kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis penutupan Festival Jabat Sejagat 2025 di Sarawak Sport Village (SSV) di sini, pada Ahad.
Menurut Dato Sri Abdul Karim, isu penganjuran sebuah acara hiburan di Miri yang tular di media sosial telah menimbulkan kebimbangan masyarakat serta bantahan daripada beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Tambahnya, walaupun acara tersebut tidak melibatkan peruntukan atau sokongan daripada kementerian, penganjur tetap bertanggungjawab memastikan kandungan program mematuhi undang-undang serta menghormati sensitiviti budaya dan agama.
“Penganjur tidak boleh beranggapan bahawa tanpa bantuan kerajaan mereka bebas membawa masuk sebarang bentuk persembahan. Kerajaan tetap mempunyai kuasa kerana kita mempunyai undang-undang,” jelasnya.
Beliau memaklumkan bahawa Majlis Bandaraya Miri (MBM) telah memanggil penganjur bagi mengadakan perbincangan, dan elemen persembahan yang dianggap keterlaluan difahamkan akan ditarik balik.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa pihak berkuasa tempatan, polis serta agensi berkaitan perlu meneliti pengisian setiap acara sebelum permit diluluskan bagi mengelakkan perkara yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat.
Beliau berharap isu ini dijadikan peringatan kepada semua penganjur supaya lebih bertanggungjawab dan peka dalam merancang acara demi memelihara keharmonian serta jati diri masyarakat Sarawak yang berbilang kaum dan agama.-EDISI UKAS