Majlis Ambang Tahun Baharu Daerah Daro 2026 Sajikan Pelbagai Pengisian Menarik
DARO: Majlis Ambang Tahun Baharu Daerah Daro 2026 bakal menyajikan pelbagai pengisian menarik kepada orang ramai apabila ia diadakan di Medan Selera Daerah Daro pada Rabu ini.
Antara pengisian yang bakal memeriahkan sambutan tersebut ialah Pertandingan Karaoke Terbuka yang memberi peluang kepada orang ramai menonjolkan bakat masing-masing, persembahan Tarian Melanau bagi memartabatkan seni dan budaya tempatan, serta Cabutan Bertuah dengan tawaran hadiah menarik kepada para pengunjung.
Kemuncak majlis akan diserikan dengan pertunjukan bunga api sebagai simbol harapan dan permulaan baharu sempena detik peralihan ke tahun 2026.
Majlis berkenaan akan disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Dr Safiee Ahmad dan dianjurkan sebagai platform untuk mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan masyarakat setempat selain menyemarakkan semangat perpaduan serta kebersamaan menjelang kehadiran tahun baharu 2026.
Sehubungan itu, orang ramai khususnya penduduk Daerah Daro dan kawasan sekitar dijemput hadir beramai-ramai bagi memeriahkan sambutan ini dan bersama-sama menyambut tahun baharu dalam suasana aman, selamat dan penuh kegembiraan.-EDISI UKAS