96 Murid Tahun 6 Terima Bantuan Pakaian Seragam dan Kasut Sekolah di Meradong
MERADONG: Seramai 96 orang murid Tahun 6 yang bakal melangkah ke alam persekolahan menengah menerima bantuan pakaian seragam dan kasut sekolah menerusi satu majlis penyerahan yang diadakan di sekitar kawasan Meradong, pada Isnin.
Bantuan tersebut merupakan sumbangan Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi merangkap Ahli Parlimen Sarikei Dato’ Sri Huang Tiong Sii, sebagai sebahagian daripada usaha berterusan menjaga kebajikan pelajar di kawasan beliau.
Penyerahan bantuan telah dilaksanakan menerusi lawatan Pasukan Pusat Khidmat Wakil Rakyat ke sekolah-sekolah terlibat bagi memastikan sumbangan khas tersebut disampaikan terus kepada para murid yang layak.
Menurut Dato’ Sri Huang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok, inisiatif penyampaian bantuan pakaian seragam dan kasut sekolah ini bertujuan meringankan beban kewangan ibu bapa, di samping memberi galakan serta meningkatkan semangat murid untuk memulakan fasa pendidikan seterusnya dengan lebih yakin.
Beliau berkata, bantuan seumpama itu telah dilaksanakan secara konsisten sejak tahun 2019 bagi memastikan pelajar di kawasan Repok menerima sokongan sewajarnya, khususnya dalam penyediaan keperluan asas persekolahan.
“Bantuan ini merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan saya dalam memperkukuh kebajikan pelajar di kawasan Parlimen Sarikei.
“Saya berharap sumbangan ini dapat memberikan motivasi kepada para pelajar untuk memulakan sesi persekolahan baharu dalam keadaan lebih selesa dan berkeyakinan,” katanya.
Beliau turut berharap agar bantuan yang disalurkan dapat dimanfaatkan sepenuhnya serta menjadi dorongan kepada murid untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan dalam bidang akademik dan pembangunan diri.
Majlis penyerahan tersebut melibatkan murid daripada beberapa buah sekolah, antaranya SK St Augustine, SJKC Ming Chiang, SJKC Kai Sing, SJKC Tung Kwong, SK Sungai Kawi, SJKC Yong Kwong, SK Tulai, SJKC Kung Cheng, SJKC Tong Hua, SJKC Nang Hua, SJKC Yong Cheng, SJKC Ming Shing, SK Sungai Sian dan SK Tanjung Bundung.-EDISI UKAS