Je’ulo Run 3.0 Pupuk Gaya Hidup Sihat, Satukan Masyarakat Pelbagai Peringkat Usia
DARO: Penganjuran program berteraskan kesihatan seperti Je’ulo Run bukan sahaja mampu menyihatkan tubuh badan, malah berperanan penting dalam merapatkan hubungan silaturahim serta memperkukuh perpaduan masyarakat setempat.
Ahli Parlimen Igan Ahmad Johnie Zawawi berkata, sambutan menggalakkan terhadap program tersebut membuktikan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan amalan gaya hidup sihat semakin meningkat merentasi pelbagai peringkat usia.
“Saya amat berbesar hati melihat sambutan yang begitu menggalakkan daripada masyarakat pelbagai peringkat usia.
“Ini membuktikan kesedaran terhadap kepentingan gaya hidup sihat semakin meningkat dalam kalangan rakyat,” katanya ketika merasmikan pelepasan Je’ulo Run 3.0 Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Daro 2025 yang berlangsung dengan penuh meriah di Jambatan Muara Lassa, di sini, pada Sabtu.
Seramai 1,115 peserta mengambil bahagian dalam acara edisi ketiga itu, melibatkan penyertaan dari Dalat, Mukah, Sibu, Sarikei dan Kapit, selain penduduk tempatan sekitar Daro.
Menurut beliau lagi, pemilihan Jambatan Muara Lassa sebagai lokasi penganjuran adalah sangat signifikan kerana ia melambangkan kemajuan infrastruktur luar bandar serta menjadi simbol kebanggaan rakyat di kawasan Daro.-EDISI UKAS