Inisiatif Kesihatan Berasaskan Komuniti Diperlukan Untuk Menyokong Penuaan Aktif
KUCHING: Inisiatif kesihatan berasaskan komuniti kekal sebagai tonggak penting dalam mempromosikan penuaan aktif dan mengukuhkan perpaduan sosial, khususnya dalam kalangan warga emas, selaras dengan pembangunan inklusif dan berpusatkan rakyat di Sarawak.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian memuji pertubuhan seperti Persatuan Rekreasi Mazhong atas sumbangan berterusan mereka dalam pembangunan komuniti.
Jelasnya, komitmen jangka panjang dan khidmat sukarela sedemikian menunjukkan peranan tidak ternilai yang dimainkan oleh organisasi komuniti dalam menyokong gaya hidup sihat dan mengukuhkan penglibatan masyarakat.
“Kesihatan tidak bermula di hospital, tetapi dalam komuniti dan melalui tabiat harian yang baik,” katanya menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan, Datuk Wee Hong Seng, pada Majlis Makan Malam Gala Ambang Tahun Baru 2026 anjuran Persatuan Rekreasi Mazhong di Kuching pada Ahad.
Dalam pada itu, Datuk Amar Dr Sim memberitahu, Persatuan Rekreasi Mazhong kini mempunyai kira-kira 350 ahli dan terus menyediakan bimbingan senaman percuma di Taman Persahabatan Malaysia-China dan kawasan Saradise Edge.
Ujarnya, warga emas yang mempunyai akses kepada platform yang sesuai untuk aktiviti fizikal, rangkaian sosial stabil serta persekitaran di mana mereka dihormati dan dihargai memberi manfaat melangkaui individu hingga ke seluruh masyarakat.
Tegasnya, peningkatan umur tidak harus dianggap sebagai satu kekangan, namun sebagai aset bernilai yang memberi pengalaman dan pengetahuan untuk terus menyumbang secara bermakna kepada pembangunan Sarawak apabila peluang penyertaan terus tersedia.
Menyentuh mengenai inisiatif kerajaan, beliau yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak berkata, Skim Manfaat Kesihatan Warga Emas Sarawak (SCHB), yang diperkenalkan pada Ogos 2024, mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Sarawak dalam melindungi kebajikan warga emas.
“Skim ini menyediakan manfaat perubatan pesakit luar tahunan sebanyak RM500 kepada rakyat Sarawak yang layak berumur 60 tahun ke atas untuk meningkatkan akses kepada perkhidmatan penjagaan kesihatan yang mampu milik,” tambahnya.
Beliau menambah bahawa inisiatif tersebut mencerminkan komitmen Kerajaan Sarawak terhadap pembangunan inklusif, memastikan tiada segmen masyarakat yang terpinggir dan manfaat kemajuan dapat dikongsi secara saksama.
Turut hadir ialah Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Lintang See Chee How, Penasihat Persatuan Rekreasi Mazhong Chan Wee Ming, Ketua Masyarakat Utama Kaum Cina Temenggong Dato Tan Joo Phoi dan tetamu kehormat lain. –EDISI UKAS
Disediakan oleh: Alezxandria Kapple
Gambar: Alezxandria Kapple
Terjemahan: Ahmad Daniel Faiz