Pelihara Seni Pertahankan Diri, Elak Warisan Budaya Luput Ditelan Zaman
KUCHING: Seni mempertahankan diri yang menjadi sebahagian daripada warisan budaya pelbagai tamadun di dunia perlu terus dipelihara dan dihidupkan agar tidak luput ditelan arus perubahan zaman.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, seni mempertahankan diri wujud di hampir setiap pelosok dunia dan setiap masyarakat pasti mempunyai sekurang-kurangnya satu bentuk seni mempertahankan diri.
“Pada zaman dahulu, seni mempertahankan diri merupakan satu ilmu yang wajib dipelajari oleh setiap insan, tidak kira lelaki atau perempuan.
“Keadaan ketika itu amat berbeza dengan situasi hari ini kerana kini, keselamatan kita dijaga oleh pihak polis, tentera serta agensi-agensi keselamatan yang lain.
“Justeru, seni mempertahankan diri sedikit sebanyak boleh hilang ditelan zaman sekiranya tidak dihidupkan,” katanya ketika berucap pada majlis penutupan Festival Jabat Sejagat 2025 yang berlangsung di Sarawak Sports Village (SSV), di sini, pada Ahad.
Dato Sri Abdul Karim menekankan kepentingan sokongan berterusan daripada setiap pihak termasuk kementerian, agensi kerajaan serta sektor swasta bagi memastikan warisan seni mempertahankan diri kekal kukuh dan relevan.
Dalam pada itu, beliau yang juga Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak menyifatkan penglibatan aktif golongan belia dalam Festival Jabat Sejagat 2025 sebagai petanda positif kejayaan usaha memupuk minat generasi muda terhadap warisan seni mempertahankan diri.
Jelasnya, sokongan berterusan akan diberikan kepada penganjuran kejohanan seperti ini, bukan sahaja melibatkan silat, malah seni mempertahankan diri yang lain bagi merapatkan silaturahim dalam kalangan penggiat tempatan dan antarabangsa.
Beliau turut memberi bayangan bahawa Festival Jabat Sejagat akan diperluaskan pada penganjuran akan datang dengan peruntukan lebih besar serta kemungkinan diadakan di lokasi lebih luas bagi memberi peluang kepada lebih ramai masyarakat menyaksikannya.
Turut hadir ke majlis ini ialah Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datu Sherrina Hussaini dan Yang Dipertua Persatuan Kebangsaan Melayu Sarawak (PKMS) Dato’ Dr. Wan Ali Tuanku Madhi.-EDISI UKAS