Wilfred Yap Komited Pastikan Kota Sentosa Nikmati Pembangunan
KUCHING: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Sentosa, Wilfred Yap Yau Sin menegaskan komitmennya untuk memastikan kawasan Kota Sentosa tidak terpinggir atau ketinggalan dalam arus pembangunan yang dilaksanakan Kerajaan Sarawak.
Menurutnya, ini turut melibatkan penaiktarafan infrastruktur, kemudahan pendidikan, kebajikan masyarakat, institusi keagamaan, pembangunan belia atau keperluan di peringkat akar umbi.
"Peranan saya adalah untuk memastikan Kota Sentosa mendapat manfaat sepenuhnya daripada segala dasar dan inisiatif baik yang diperkenalkan oleh Kerajaan Gabungan Parti Sarawak," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Apresiasi Media DUN Kota Sentosa 2025 di sebuah hotel, di sini, pada Ahad.
Dalam pada itu, Wilfred memuji peranan media Sarawak sebagai rakan strategik dalam menyokong usaha kerajaan menyampaikan maklumat dengan tepat dan mudah difahami masyarakat.
Jelasnya, Sarawak bertuah kerana mempunyai pengamal media yang bukan hanya melaporkan acara tetapi membantu menjelaskan dasar, menterjemah inisiatif kerajaan kepada bahasa yang dekat dengan rakyat, memberi maklum balas dan mencerminkan suara masyarakat kepada pembuat dasar.
Ujarnya, peranan ini penting terutamanya kepada Kerajaan Sarawak yang dipimpin Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg yang merangkumi pelbagai dasar memerlukan komunikasi yang jelas dan tepat untuk sampai kepada masyarakat.
"Pelaporan anda bukan sahaja membantu membentuk pandangan masyarakat, malah yang lebih penting, ia membantu kerajaan untuk lebih peka dan mendengar suara rakyat," ujarnya. -EDISI UKAS