Kemudahan Asas Kampung Kupang Bakal Dinaik Taraf, Tingkat Keselamatan & Keselesaan Penduduk
SARATOK: Beberapa kemudahan asas termasuk pintu air, jalan pertanian dan jalan lorong di Sungai Rembus, Pagan serta Kampung Hulu, Tengah dan Hilir Kupang, termasuk Jeti Belian akan dinaik taraf bagi meningkatkan keselamatan dan keselesaan penduduk setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka Mohamad Duri berkata, projek naik taraf berkenaan memberi manfaat kepada keseluruhan penduduk di tiga kampung utama di kawasan Kupang.
“Insya-Allah, saya akan membantu melalui peruntukan dana Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) bagi menyediakan kemudahan asas yang lebih baik kepada penduduk Kampung Kupang,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas meninjau keadaan jalan-jalan lorong kampung berkenaan bersama Penghulu Misis Aris serta Ketua Kaum Majenan dan Jepri pada Ahad.
Tambah beliau, semua kampung dan rumah panjang di kawasan DUN Kalaka sememangnya tidak terpinggir daripada arus pembangunan yang dibawa oleh Kerajaan Sarawak di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Beliau memaklumkan, bagi tahun 2025, sebanyak dua projek RTP dilaksanakan di Kampung Kupang iaitu projek naik taraf Dewan Serbaguna Kampung Hulu Kupang serta naik taraf Padang SK Kampung Kupang.
Dalam pada itu, kerja-kerja naik taraf pintu air yang rosak serta jalan ban oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) sedang dilaksanakan menerusi peruntukan Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA).
Jelasnya lagi, projek naik taraf dua pintu air serta pembinaan pintu air baharu di Sungai Rembus dan Pagan, Saratok di bawah DID telah ditenderkan, dengan tarikh tutup pada 16 Disember lalu bagi membantu pekebun mengatasi masalah air bertakung dan banjir ketika hujan lebat.
Sehubungan itu, beliau merakamkan penghargaan kepada BDDA atas kelulusan kedua-dua projek berkenaan yang melibatkan Kampung Kupang dan Kampung Pagan, Saratok.-EDISI UKAS