Yang Di-Pertua Negeri Sarawak, Isteri Selamat Tiba Di Tanah Air Selepas Percutian Di Jepun
KUALA LUMPUR: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi selamat tiba di tanah air di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada Isnin, selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Narita, Jepun.
Beliau berdua diiringi ahli keluarga terdekat baru selesai menjalani percutian rasmi selama dua minggu di Jepun.
Ketibaan rombongan disambut mesra oleh pegawai-pegawai kanan Pejabat Yang di-Pertua Negeri Sarawak serta Ketua Pegawai Perhubungan Rumah Sarawak Kuala Lumpur Awang Supian Awang Daud bersama pegawai-pegawai berkaitan.
Sejurus tiba, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi berkenan mengaminkan bacaan doa kesyukuran yang dipimpin oleh Ketua Seksyen Istiadat dan Protokol, Pejabat Yang di-Pertua Negeri Sarawak Ahmad Zamri Shah Mohd Jeman sebagai tanda kesyukuran atas keselamatan perjalanan.
Percutian rasmi ke Negara Matahari Terbit tersebut memberi ruang kepada Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi dan Toh Puan Fauziah berehat seketika daripada jadual rasmi yang padat di samping meluangkan masa berkualiti bersama keluarga.
Selain itu, kunjungan ke Jepun turut membuka peluang untuk meninjau lebih dekat perkembangan pesat negara berkenaan khususnya dalam aspek kebudayaan dan teknologi, yang menjadi inspirasi dalam usaha pembangunan Sarawak. -EDISI UKAS