MBKS Lancar Pertandingan “Name Our Spaces” Untuk Namakan Ruang Baharu Kompleks
KUCHING: Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) hari ini melancarkan pertandingan penamaan ruang baharu, “Name Our Spaces”, sebagai usaha melibatkan orang awam dalam menamakan kawasan-kawasan di dalam kompleks yang sedang dibangunkan semula.
Pelancaran rasmi disempurnakan oleh Datuk Bandar MBKS, Dato Wee Hong Seng, bersama Timbalan Datuk Bandar, Dato Zaiedi Suhaili serta Ahli-Ahli Majlis dalam sidang media khas di MBKS pada Isnin.
Pertandingan ini terbuka kepada semua rakyat Sarawak tanpa sebarang yuran penyertaan dengan borang penyertaan boleh diperoleh melalui laman sesawang rasmi MBKS atau di lobi bangunan MBKS.
Tempoh penyertaan bermula hari ini, 29 Disember 2025 sehingga 26 Januari 2026 (sebelum 12 tengah hari).
Hadiah-hadiah ditawarkan merangkumi RM3,000 untuk tempat pertama, RM2,000 untuk tempat kedua, RM1,000 untuk tempat ketiga, serta saguhati RM500 untuk lima peserta.
Melalui pertandingan ini, MBKS mengalu-alukan cadangan nama yang bermakna dan sesuai untuk ruang-ruang di dalam kompleks tersebut, yang dahulunya merupakan kolam renang KMC dan kini dikenal pasti sebagai Water Fun Park, merangkumi kawasan menjamu selera, koridor peruncitan, dewan pameran, ruang kerja bersama serta dewan serbaguna.
Dato Wee berharap penyertaan yang meluas daripada masyarakat setempat termasuk orang awam, kumpulan komuniti, golongan kreatif serta keluarga bagi berkongsi cadangan dan idea terbaik demi memperkukuh identiti baharu kompleks tersebut. -EDISI UKAS