Projek Pembersihan Saliran Sungai Tekam Siap Sepenuhnya
MERADONG: Projek pembersihan dan penyelenggaraan sistem saliran di Sungai Tekam kini telah siap sepenuhnya, memastikan kelancaran aliran air dan mengurangkan risiko banjir di kawasan berkenaan.
Wakil kepada Ahli Parlimen Sarikei merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok Dato’ Sri Huang Tiong Sii iaitu Wong Soon Mee telah menyaksikan penyerahan dokumen pengesahan siap kerja projek tersebut semasa membuat lawatan ke tapak projek pada Isnin.
Projek yang dilaksanakan menerusi peruntukan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Bahagian Sarikei itu melibatkan kerja-kerja pembersihan dan penyelenggaraan saliran bagi menangani masalah perparitan tersumbat serta aliran air tidak lancar, khususnya ketika musim hujan.
Pelaksanaan projek ini telah meningkatkan kecekapan sistem saliran di kawasan Sungai Tekam dan membantu mengurangkan risiko banjir kilat, sekali gus memberi manfaat kepada penduduk setempat dari segi keselamatan dan kelancaran aktiviti harian.-EDISI UKAS