Pendekatan Turun Padang Perkukuh Perancangan Infrastruktur Asas
BINTANGOR: Lawatan berterusan ke lokasi infrastruktur asas adalah penting bagi mengenal pasti isu di lapangan sekali gus membolehkan langkah penambahbaikan dirancang dengan lebih berkesan.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi merangkap Ahli Parlimen Sarikei Dato’ Sri Huang Tiong Sii berkata, pendekatan turun padang membolehkan penilaian dibuat berdasarkan keadaan sebenar di lapangan.
“Pendekatan turun padang ini membolehkan perancangan dan pelaksanaan projek dilaksanakan dengan lebih tersusun dan berimpak tinggi,” katanya pada Isnin.
Sehubungan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok itu sentiasa memastikan sama ada beliau sendiri atau pasukan perkhidmatannya turun padang bagi meninjau keadaan di lapangan.
Menurutnya, pasukan perkhidmatan beliau bersama pegawai Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Bahagian Sarikei telah melawat ke beberapa lokasi di kawasan luar bandar dan pinggir bandar Bintangor bagi menilai keadaan infrastruktur asas serta sistem perparitan sedia ada.
Antara lokasi yang dilawati termasuk Jalan Ming Chiang, Jalan Muhibah, Jalan Dak Sieng serta Rumah Stephen Senen di Sungai Gemuan bagi menilai tahap keberkesanan sistem saliran serta impaknya terhadap keselamatan, pergerakan harian dan kesejahteraan penduduk setempat.
Segala maklumat, pemerhatian serta maklum balas yang diperoleh hasil lawatan tapak dan sesi libat urus bersama penduduk akan dijadikan asas pertimbangan bagi perancangan serta pelaksanaan langkah penambahbaikan infrastruktur pada masa hadapan demi meningkatkan kualiti hidup rakyat.-EDISI UKAS