Miri Kekal Destinasi Persinggahan Kapal Persiaran Antarabangsa
MIRI: Pemilihan Miri sebagai persinggahan kapal persiaran antarabangsa MV Coral Geographer membuktikan keyakinan berterusan pengendali pelayaran global terhadap Sarawak sebagai destinasi pelancongan bertaraf antarabangsa, meskipun ketibaan penumpang ke darat terpaksa dibatalkan berikutan keadaan cuaca laut yang tidak mengizinkan.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew menerusi Setiausaha Sulitnya, Chia Kah Furng berkata persinggahan kapal berbendera Australia yang membawa 117 penumpang dan anak kapal itu kekal signifikan dalam usaha memperkukuh profil pelancongan Sarawak di peringkat global.
Menurutnya, Sarawak optimis mencapai sasaran lima juta ketibaan pelancong bagi tahun 2025, dengan pelancongan kapal persiaran dilihat sebagai antara pemangkin utama pertumbuhan sektor berkenaan menjelang 2026.
Sementara itu, Pengurus Besar Lembaga Pelabuhan Miri, Serawa Budol menegaskan aspek keselamatan menjadi keutamaan, namun semua persiapan sambutan termasuk elemen kebudayaan telah dilaksanakan sebagai simbol kesiapsiagaan Miri menerima ketibaan pelancong antarabangsa.
Persinggahan ini sekaligus mengukuhkan kedudukan Miri sebagai destinasi baharu pelancongan kapal persiaran dan mencerminkan komitmen berterusan Sarawak dalam membangunkan industri pelancongan secara mampan.-EDISI UKAS