KUCHING: Raptai Sambutan Ambang Tahun 2026 yang berlangsung di pentas utama sambutan di Tebingan Sungai Kuching berjalan dengan lancar pada Isnin.
Raptai tersebut bagi memastikan kelancaran pada majlis sebenar yang akan berlangsung Rabu ini di mana Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi dijangka hadir menyerikan majlis tersebut.
Hadir pada sesi raptai tersebut, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah merangkap Menteri Bertanggungjawab bagi sambutan tersebut bagi memastikan segala persiapan seperti persembahan artis, pertunjukan bunga api dan pelbagai lagi persembahan menarik yang akan berlangsung pada hari kejadian teratur mengikut perancangan.
Ketika ditemui media, Dato Sri Abdul Karim memberitahu, beliau telah dimaklumkan oleh pihak penganjur berkenaan persiapan yang kini berjalan lancar tanpa sebarang masalah.
Beliau juga berharap agar keadaan cuaca menyebelahi penganjuran kali ini agar orang ramai dapat hadir sama menyaksikan persembahan yang sering dinanti-nantikan oleh rakyat Sarawak setiap tahun.
"Kerana kita rasa, kalau cuacanya baik, dengan hiburan persembahan artis-artis ternama yang kita bawa, mungkin puluhan ribu orang akan berada di kawasan waterfront," katanya.
Dato Sri Abdul Karim turut menyeru agar orang ramai yang hadir untuk 'carpooling' ke Tebingan Sungai Kuching agar dapat mengurangkan kesesakan yang akan berlaku di kawasan tersebut.
Beliau yang juga Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak turut menyeru agar orang ramai tidak meletakkan kenderaan terlalu hampir dengan Tebingan Sungai Kuching bagi memastikan kelancaran trafik di kawasan tersebut.
Sambutan Ambang Tahun 2026 bakal menampilkan artis terkemuka Indonesia iaitu Judika dan juga artis terkenal tanahair iaitu Dayang Nurfaizah dan pelbagai lagi artis yang juga terdiri daripada artis tempatan.
Turut diadakan adalah persembahan laser bunga api dan pertunjukan bunga api di samping satu persembahan unik yang akan direkodkan dalam 'Guiness Book Of Records'. -EDISI UKAS
Disediakan oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Muhammad Rais Sanusi