AirBorneo Dijangka Beroperasi Ke Destinasi Lain Selepas Julai 2026
KUCHING: Syarikat penerbangan milik Sarawak, AirBorneo dijangka akan menggunakan pesawat-pesawat lain untuk ke pelbagai destinasi termasuk ke Semenanjung Malaysia dan rantau berdekatan selepas Julai 2026.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, AirBorneo kini masih menggunakan pesawat kecil yang merupakan sambungan kepada Perkhidmatan Udara Luar Bandar (RAS) yang dijalankan oleh MASWings sebelum ini.
"Jadi, kita tidak dapat melihat satu hari bulan terus melonjak kerana ia perlu diberi masa sekurang-kurangnya dua tahun untuk kita dapat melihat destinasi-destinasi yang besar," katanya ketika ditemui pemberita semasa sesi raptai Sambutan Ambang Tahun 2026 di Tebingan Sungai Kuching pada Isnin.
Dato Sri Abdul Karim menambah, kehadiran AirBorneo semestinya akan meningkatkan perkhidmatan pengangkutan udara di Sarawak biarpun agak sukar untuk melihat lonjakan terus kelak semasa awal pengoperasian
Beliau yang juga Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak itu yakin dengan kemampuan AirBorneo terutamanya dengan Kuching juga dipilih salah satu venue pelancaran bagi Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026 yang akan dilancarkan pada Khamis ini.
Beliau turut memaklumkan AirBorneo bakal dilancarkan secara rasmi pada Jumaat ini. -EDISI UKAS
Disediakan oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Muhammad Rais Sanusi