Jangan Perlekeh Kemampuan Sarawak Anjur Sukan SEA - Dato Sri Abdul Karim
KUCHING: Jangan memperlekeh mahupun memperkecilkan kemampuan Sarawak untuk menganjurkan Sukan SEA 2027.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah menegaskan, Sarawak sudah biasa mengadakan acara sukan berprestij antarabangsa yang diadakan di sini.
Jelasnya, penganjuran Sukan SEA kelak bukan masalah bagi pihaknya namun persiapan rapi diperlukan memastikan kelancaran temasya tersebut terutamanya pada majlis pembukaan kelak.
"Mestilah kita perlu bersiap sedia dan sebab itulah baru-baru ini saya bersama rombongan daripada Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak pergi ke Bangkok, Thailand untuk melihat venue-venue di mana acara tersebut diadakan.
"Saya juga berada di sana semasa acara perasmian dan saya percaya kita boleh mengadakan seperti apa yang diadakan di sana, malah kemungkinan lebih baik daripada itu.
"Kita juga mendengar isu-isu serta masalah pada peringkat awal pertandingan di sana seperti makanan, pengangkutan dan lain-lain," katanya ketika ditemui pemberita semasa sesi raptai Sambutan Ambang Tahun 2026 di Tebingan Sungai Kuching pada Isnin.
Dato Sri Abdul Karim menambah, persiapan fasiliti juga dipertingkatkan dengan venue-venue bagi sukan yang akan dipertandingkan terus dinaik taraf yang memakan kos ratusan juta termasuk kos perasmian dan penganjuran.
Beliau yang juga Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak mendedahkan, Kerajaan Sarawak telah memperuntukkan RM350 juta sebagai kos penganjuran Sukan SEA 2027.
Justeru, beliau berharap agar tiada pihak yang memperkecilkan usaha Sarawak untuk membangunkan industri sukan tanahair namun memandangnya jauh ke hadapan. -EDISI UKAS
Disediakan oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Muhammad Rais Sanusi