Penganalisis Ekonomi Madeline Berma Meninggal Dunia
KUCHING: Penganalisis ekonomi Prof Madya Datuk Dr Madeline Berma meninggal dunia pada usia 64 tahun di kediamannya di Bandar Baru Bangi, 11.30 pagi tadi.
Perkara itu disahkan anak buah mendiang, Basil Cliffton Calvert ketika dihubungi Bernama hari ini.
Calvert turut memaklumkan bahawa jasad mendiang akan dibawa pulang ke Kampung Siol Kandis, Kuching untuk urusan pengebumian.
“Perkara ini masih dalam perbincangan namun sekiranya semuanya berjalan lancar, kemungkinan jasad mendiang akan dibawa pulang esok,” katanya.
Menurut Calvert, Datuk Dr Madeline Berma menghidap penyakit buah pinggang dan sedang menjalani rawatan dialisis bagaimanapun punca kematian belum dipastikan.
Datuk Dr Madeline Berma yang berasal dari Kuching merupakan tokoh ekonomi yang telah memberikan sumbangan besar dalam pembangunan ekonomi, bukan sahaja di Sarawak malah di peringkat nasional.
Beliau dilantik sebagai Pesuruhjaya Sarawak di Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) dan merupakan orang Iban pertama memegang jawatan tersebut.
Datuk Dr Madeline Berma juga ahli Majlis Tindakan Ekonomi Sarawak (SEAC) yang dilantik oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg pada Januari lepas bagi membantu perancangan ekonomi negeri.
Selain itu, beliau turut memegang beberapa jawatan perunding dan menganggotai jawatankuasa nasional kerajaan termasuk Majlis Penasihat Wanita serta pelbagai jawatankuasa perundingan dasar di peringkat Persekutuan.
Beliau juga dikenali sebagai penganalisis yang sering menjadi rujukan media untuk mendapatkan pandangan bernas dan analisis komprehensif mengenai isu ekonomi dan pembangunan.