UTS Lantik Panel Laksana Kajian Penubuhan Program Ijazah Perubatan
SIBU: Universiti Teknologi Sarawak (UTS) hari ini melantik enam ahli panel bagi melaksanakan kajian kebolehlaksanaan penubuhan program ijazah perubatan, sebagai langkah awal ke arah penubuhan sekolah perubatan pertama universiti tersebut.
Ahli panel tersebut ialah, Prof. Dr. Lela Suut dari Jabatan Patologi, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Prof. Dr. Awi Idi dari Jabatan Obstetrik dan Ginekologi, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, UNIMAS, Prof. Dr. Muhammad Zulkarnaen Ahmad Narihan dari Jabatan Patologi, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, UNIMAS, Prof. Dr. Kamarudin Kana dari Jabatan Perubatan Keluarga, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, UNIMAS, Dr. John Tang Ing Ching dari Rejang Medical Centre dan Dr. Alan Fong dari Pusat Penyelidikan Klinikal, Hospital Umum Sarawak.
Majlis tersebut disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Dr. Annuar Rapaee, di UTS, di sini pada Selasa.
Difahamkan, mereka diberi tempoh enam bulan untuk menyediakan laporan kajian yang komprehensif bagi menjalankan kajian kebolehlaksanaan penubuhan sekolah perubatan di UTS.
UTS turut melantik wakil dalaman bagi menilai dan menyemak semua hasil kajian kebolehlaksanaan tersebut, iaitu Prof. Ir. Ts. Dr. Mohammad Shahril Osman, Timbalan Naib Canselor (Akademik), Dr. Sim Siew Ling, Pengarah Pusat Jaminan Kualiti, dan Dr. Zalikha Raman, Pensyarah Kanan, Sekolah Kejuruteraan dan Teknologi.
Menurut Datuk Dr. Annuar, antara perkara utama yang perlu diteliti ialah keperluan memiliki hospital sendiri seperti yang ditetapkan dalam peraturan penubuhan fakulti perubatan.
“Definisi ‘hospital sendiri’ perlu diperjelaskan sama ada UTS perlu membina hospital baharu atau boleh menjalinkan kerjasama dengan hospital sedia ada sebagai hospital bersekutu,” katanya.
Beliau memaklumkan, pengambilan pelajar perubatan yang pertama hanya seramai 50 orang pelajar berdasarkan jumlah maksimum yang dibenarkan oleh Majlis Perubatan Malaysia (MMT).
Namun jelasnya, jumlah tersebut boleh ditambah secara berperingkat selepas pihak berkuasa berpuas hati dengan pematuhan terhadap syarat-syarat yang ditetapkan.
Dalam masa sama dedahnya, Hospital Petra Jaya yang dirancang siap kelak turut dikenal pasti sebagai salah satu hospital berpotensi untuk penempatan latihan klinikal pelajar selain beberapa subkepakaran seperti Telinga, Hidung dan Tekak (ENT) serta oftalmologi berkemungkinan dijalankan di hospital-hospital kerajaan.
Datuk Dr Annuar menegaskan bahawa aspek pengiktirafan antarabangsa merupakan keutamaan utama dalam penubuhan program ini.
“Ijazah perubatan UTS mestilah diiktiraf bukan sahaja di Malaysia, tetapi juga di peringkat antarabangsa, khususnya oleh General Medical Council (GMC) United Kingdom. Ini penting bagi membolehkan graduan melanjutkan latihan pascasiswazah dan berkhidmat di luar negara,” jelasnya.
Beliau menambah, kegagalan mendapatkan pengiktirafan antarabangsa akan memberi kesan jangka panjang kepada usaha melahirkan pakar perubatan bagi memenuhi keperluan Sarawak.
Dalam perkembangan yang sama, Datuk Dr. Annuar menyifatkan respon positif daripada beberapa universiti terkemuka dunia sebagai satu petanda amat menggalakkan.
Empat institusi berprestij iaitu King’s College London, University College London, University of Dundee dan National University of Singapore (NUS) telah menyatakan kesediaan untuk mengadakan perbincangan dengan UTS bermula Januari ini, melibatkan kerjasama akademik serta perkongsian program.
“Ini merupakan fasa seterusnya dalam kajian kebolehlaksanaan dan akan dimulakan bulan depan. Keempat-empat universiti ini bukan calang-calang institusi, malah berada dalam kelompok universiti terbaik dunia,” katanya.
Hasil kajian kebolehlaksanaan ini dijangka menjadi asas penting kepada keputusan Kerajaan Sarawak dalam merealisasikan penubuhan sekolah perubatan pertama di UTS, sekali gus menyumbang kepada pembangunan modal insan dan sistem kesihatan negeri Sarawak pada masa hadapan.
Mengulas mengenai Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak, beliau berkata bidang perubatan dan undang-undang masih berada dalam kategori tertentu yang hanya boleh ditawarkan pendidikan percuma selepas fakulti tersebut ditubuhkan sepenuhnya, termasuk penyediaan bangunan, kemudahan, serta latihan tenaga pengajar. -EDISI UKAS