SIBURAN: Pendidikan elemen penting untuk memacu Sarawak menuju ke ekonomi baharu iaitu ekonomi hijau.
Menteri Pendidikan, Inovasi Dan Pembangunan Bakat Sarawak Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, Sarawak kini menggiatkan diri melahirkan tenaga kerja berpengetahuan dalam Sains, Teknologi, Matematik dan Kejuruteraan (STEM) bukan sahaja dari segi ijazah, tetapi juga kemahiran teknikal untuk industri.
“Sarawak kini menuju ekonomi baharu iaitu ekonomi hijau kerana kita mahu menyumbang kepada dunia yang lebih bersih dan sihat.
“Sebab itulah kita membangunkan teknologi hidrogen sebagai bahan api hijau. Bahan mentahnya ialah air, dan kita mempunyai banyak sumber itu.
“Namun, air saja tidak memadai, kita memerlukan ilmu untuk memisahkan hidrogen dan oksigen agar dapat menghasilkan tenaga hijau tersebut,” katanya ketika berucap dalam Home & Future Night 3.0: Sambutan Tahun Baru 2026 di Perkarangan Tokong Shui De Xing Jun, Tapah pada Isnin.
Tambahnya, inilah sebabnya negara-negara luar memanggil Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg untuk berkongsi idea mengenai pembangunan ekonomi hijau bukan sahaja di Asia tetapi juga negara Barat.
Jelasnya, semua ini hanya boleh dicapai melalui pendidikan kerana Sarawak memerlukan lebih ramai sarjana dan penggiat STEM untuk membina masa depan.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tarat itu menambah, Sarawak juga unik dengan pelbagai kaum dan agama namun saling menghormati antara satu sama lain.
Jelasnya, keunikan menyebabkan mana-mana kaum tidak mempunyai kelebihan daripada yang lain tetapi sering bekerjasama membina masa hadapan demi Bumi Kenyalang. -EDISI UKAS