Pemergian Dato Dr Madeline Berma Kehilangan Besar Kepada Sarawak
KUCHING: Pemergian penganalisis ekonomi terkemuka, Prof Madya Datuk Dr Madeline Berma merupakan kehilangan besar kepada negara, khususnya kepada Sarawak.
Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki berkata, mendiang telah banyak memberikan sumbangan kepada negara khususnya dalam bidang pendidikan tinggi, penyelidikan dan pembangunan ilmu, termasuk pemikiran dasar serta wacana pembangunan ekonomi.
“Pemergian mendiang merupakan kehilangan besar kepada negara, khususnya kepada Sarawak, atas sumbangan beliau dalam bidang pendidikan tinggi, penyelidikan dan pembangunan ilmu, termasuk pemikiran dasar serta wacana pembangunan ekonomi,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan pada Selasa.
Mewakili Perkhidmatan Awam Sarawak, beliau menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga mendiang.
Dato Dr Madeline meninggal dunia pada usia 64 tahun di kediamannya di Bandar Baru Bangi, jam 11.30 pagi tadi.
Mendiang yang berasal dari Kuching merupakan tokoh ekonomi yang telah memberikan sumbangan besar dalam pembangunan ekonomi, bukan sahaja di Sarawak malah di peringkat nasional.
Beliau dilantik sebagai Pesuruhjaya Sarawak di Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) dan merupakan orang Iban pertama memegang jawatan tersebut.
Selain itu, Dato Dr Madeline juga ahli Majlis Tindakan Ekonomi Sarawak (SEAC) yang dilantik oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg pada Januari lepas bagi membantu perancangan ekonomi negeri.
Beliau turut memegang beberapa jawatan perunding dan menganggotai jawatankuasa nasional kerajaan termasuk Majlis Penasihat Wanita serta pelbagai jawatankuasa perundingan dasar di peringkat Persekutuan.
Mendiang juga dikenali sebagai penganalisis yang sering menjadi rujukan media untuk mendapatkan pandangan bernas dan analisis komprehensif mengenai isu ekonomi dan pembangunan.
Menurut makluman daripada anak saudara mendiang, Basil Cliffton Calvert, jasad Dato Dr Madeline akan dibawa pulang ke Kampung Siol Kandis, Kuching untuk urusan pengebumian. -EDISI UKAS