Lapangan Terbang Baharu Bebuling Dijangka Siap Februari 2026
BETONG: Projek pembinaan Lapangan Terbang Baharu Bebuling (STOLport) bernilai RM248 juta dijangka siap sepenuhnya pada Februari 2026.
Menurut Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, lapangan terbang berkenaan akan memainkan dua peranan utama iaitu sebagai pengangkutan penumpang dan pengangkutan kargo bagi membawa hasil ke pasaran di luar Spaoh, sekali gus memperkukuh rantaian ekonomi luar bandar.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan pada Selasa selepas mengadakan lawatan kerja bagi meninjau kemajuan projek Lapangan Terbang Baharu Bebuling termasuk beberapa projek infrastruktur utama di Bahagian Betong hari ini.
Projek Lapangan Terbang Baharu Bebuling merangkumi pembinaan bangunan terminal utama, kerja-kerja tanah dan turapan lapangan terbang serta kerja-kerja awam.
Apabila siap kelak, ia berpotensi menjadi pemangkin peningkatan aktiviti ekonomi setempat melalui penubuhan Pusat Pengumpulan, Pembungkusan dan Pemprosesan (CPPC) serta Agropark, selain merangsang pembangunan produk ekopelancongan di Bahagian Betong.
Dalam lawatan sama, beliau turut diberi taklimat oleh Jurutera Bahagian Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak Betong, Jason Ng mengenai perkembangan beberapa projek infrastruktur lain.
Antaranya Jambatan Sungai Krian (Pakej Pantai D4), Lebuh Raya ke Persimpangan Roban (Pakej Pantai A5), Jambatan Batang Saribas No.2 (Pakej Pantai A4), Jambatan Sungai Paku serta projek jalan luar bandar melibatkan laluan Jambu Krampak–Rantau Layan dan Ijok–Batu Pesok–Rantau Layan.
Lawatan kerja itu turut disertai Ahli Parlimen Betong Dato’ Dr Richard Rapu, Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak Datu Dr Cassidy Morris serta pegawai-pegawai kanan agensi berkaitan.
Ia mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Sarawak dalam memastikan pelaksanaan projek infrastruktur berjalan lancar dan memberi manfaat jangka panjang kepada rakyat.