Pemergian Dr Madeline Berma: Sarawak Kehilangan 'Puteri' Ekonomi - Premier
KUCHING: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg menyifatkan pemergian penganalisis ekonomi terkemuka, Prof Madya Dato Dr Madeline Berma sebagai kehilangan besar buat Sarawak.
Katanya, Sarawak kehilangan 'puteri' ekonomi yang telah banyak menyumbangkan kepakarannya dalam mengukuhkan masa depan ekonomi negeri ini.
"Sarawak telah kehilangan salah seorang puteri terbaiknya yang telah menyumbangkan kepakaran demi memastikan masa depan ekonomi Sarawak yang kukuh,” katanya dalam satu kenyataan media pada Selasa susulan pemergian tokoh ekonomi itu hari ini.
Menurut Premier, mendiang merupakan ahli Majlis Tindakan Ekonomi Sarawak (SEAC) yang ditubuhkan pada tahun 2020 di mana beliau selaku Pengerusi bagi memacu strategi keluar ekonomi Pasca COVID-19 Sarawak menuju 2030 sepertimana digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS 2030).
Mewakili SEAC, Premier Sarawak merakamkan ucapan takziah kepada ahli keluarga mendiang Dato Dr Madeline yang menghembuskan nafas terakhir pada usia 64 tahun di kediamannya di Bandar Baru Bangi, Selangor, jam 11.30 pagi tadi.
Berasal dari Kuching, mendiang merupakan tokoh ekonomi yang telah memberikan sumbangan besar dalam pembangunan ekonomi, bukan sahaja di Sarawak malah di peringkat nasional.
Menurut sumber daripada anak saudara mendiang, Basil Cliffton Calvert, jasad Dato Dr Madeline akan dibawa pulang ke Kampung Siol Kandis, Kuching untuk urusan pengebumian. - EDISI UKAS