SMD Semiconductor Perkukuh Bina Ekosistem Industri Cip Sarawak
KUCHING: Sarawak Microelectronics Design (SMD) Semiconductor terus memperkukuh peranannya dalam membina ekosistem industri semikonduktor Sarawak yang mampan dan berdaya saing pada tahun 2025, sejajar dengan perkembangan global yang semakin menekankan kepentingan keupayaan reka bentuk cip, kejuruteraan mendalam serta pembangunan bakat tempatan.
Ketua Pegawai Eksekutif SMD Semiconductor, Shariman Jamil berkata, landskap industri semikonduktor global kini semakin dipacu oleh kecerdasan buatan (AI), elektrifikasi, tenaga boleh baharu serta keperluan rantaian bekalan yang lebih berdaya tahan dan dipercayai, sekali gus meletakkan reka bentuk cip dan integrasi sistem sebagai elemen kritikal dalam pembangunan teknologi masa hadapan.
Menurut beliau, sepanjang 2025, SMD mencapai beberapa pencapaian utama termasuk penubuhan Hab Inovasi R&D bersama CSA Catapult di Wales, selain mempamerkan teknologi penukar kuasa berasaskan AI di Mobile World Congress 2025 di Barcelona.
"SMD turut melancarkan prototaip keteq.GaN di Microelectronics UK, London serta mempergiat pembangunan dalam bidang semikonduktor kompaun dan elektronik kuasa.
"Dalam aspek pembangunan modal insan, SMD telah menganjurkan Pertandingan Reka Bentuk IC SMD yang pertama dan IC Design Make-A-Thon edisi kedua, sebagai usaha berterusan membina saluran bakat tempatan yang relevan dengan keperluan industri.
"Pada masa sama, satu Memorandum Persefahaman (MoU) turut dimeterai bersama Rebellions Inc. dari Korea Selatan bagi meneroka kerjasama berkaitan sistem AI berdaulat dan dipercayai," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Shariman turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Sarawak dan Kerajaan Persekutuan atas sokongan berterusan yang disifatkan sebagai faktor penting dalam mewujudkan persekitaran kondusif bagi pembangunan teknologi canggih, selain sokongan lembaga pengarah, rakan industri, akademik serta warga kerja SMD sendiri.
Menjelang 2026, SMD tegasnya akan memberi tumpuan kepada pelaksanaan berimpak dengan memastikan kerjasama strategik diterjemahkan kepada projek aktif, penggunaan teknologi oleh pelanggan sebenar serta pengukuhan teknologi “Made-by-Sarawak” bagi memperkukuh keyakinan domestik dan kedudukan Sarawak di peringkat global.