Sambutan Hari Natal Perkukuh Keharmonian Kaum di Trusan
LAWAS: Sambutan Hari Natal yang diraikan dalam suasana aman dan damai terus mencerminkan tahap keharmonian hubungan antara masyarakat berbilang kaum di Sarawak, khususnya di Daerah Kecil Trusan.
Ahli Parlimen Lawas, Dato Henry Sum Agong berkata, nilai keharmonian dan perpaduan tersebut perlu terus dipupuk serta dipelihara, terutamanya dalam kalangan generasi muda bagi menjamin kesejahteraan dan kestabilan negeri pada masa hadapan.
“Kita berharap generasi muda akan terus menjaga dan mengekalkan hubungan baik antara semua kaum tanpa mengira latar belakang, kerana inilah kekuatan sebenar Sarawak,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Natal Daerah Kecil Trusan 2025 yang berlangsung di Gelanggang Futsal Dewan Masyarakat Trusan, di sini pada Selasa.
Beliau turut menzahirkan rasa syukur terhadap kepimpinan kerajaan Sarawak pada masa ini yang telah membawa pelbagai kemajuan pembangunan kepada rakyat.
Menurutnya, pelaksanaan projek dan inisiatif pembangunan adalah bertujuan menyediakan kemudahan yang lebih baik serta meningkatkan taraf hidup rakyat dalam pelbagai sektor.
Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada jawatankuasa pengelola serta Pejabat Daerah Kecil Trusan atas komitmen dan kerjasama yang diberikan dalam menjayakan sambutan berkenaan.
Dato Henry Sum Agong juga menyampaikan salam serta ucapan daripada Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan kepada seluruh hadirin sempena perayaan Hari Natal yang diraikan dengan penuh kesederhanaan dan semangat kekeluargaan.
Majlis yang dianjurkan oleh Pejabat Daerah Kecil Trusan itu turut dihadiri kira-kira 200 orang, termasuk Setiausaha Politik Premier Sarawak, Awangku Jinal Abedin Dato Pengiran Jawa, Penolong Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Kecil Trusan, Awg Muhamad Redhuan Awg Mushtapa, serta ketua-ketua masyarakat dan kaum setempat.-EDISI UKAS