Kampung Mengatai Tuan Rumah Pesta Badudun dan Lumba Kerbau 2026, Peruntukan RM300,000 Diluluskan
LIMBANG : Kampung Mengatai dipilih sebagai tuan rumah penganjuran Pesta Badudun dan Lumba Kerbau 2026 yang dijadualkan berlangsung pada 23 hingga 25 Oktober 2026, selaras dengan usaha memperkasa aktiviti pelancongan dan sosioekonomi komuniti setempat.
Perkara tersebut dimaklumkan oleh Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail semasa mengadakan lawatan ke tapak cadangan penganjuran pesta berkenaan di Kampung Mengatai, pada Selasa.
Menurut beliau, lawatan awal itu bertujuan menilai keperluan naik taraf tapak serta mengenal pasti komponen pembangunan yang akan dilaksanakan di bawah Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) 2026, bagi memastikan penganjuran pesta tersebut dapat dilaksanakan secara lebih teratur, selamat dan selesa.
Dalam lawatan tersebut, beliau turut meluluskan peruntukan berjumlah RM300,000 bagi kerja-kerja menaik taraf tapak berkenaan.
Antara komponen yang dicadangkan merangkumi pembinaan pentas, naik taraf permukaan padang, pembinaan jalan berbatu di sekeliling padang serta penambahbaikan sistem perparitan.
Beliau menegaskan, pelaksanaan projek RTP itu bukan sahaja menyokong kelancaran penganjuran pesta, malah menyediakan kemudahan padang bola sepak mengikut spesifikasi standard, sekali gus memberi manfaat jangka panjang kepada penduduk Kampung Mengatai dan kawasan sekitarnya.
Turut hadir wakil Residen Bahagian Limbang Aspalela Mohamad Sahmoni, Penolong Pegawai Daerah Limbang Mariati Samat, Jurutera (Awam) JKR Limbang Nur Ain Abdul Rahman, Jurutera JKR Limbang, Affizul Hashrapf Mola, Pengerusi Persatuan Melayu Limbang Mohamad Abu Bakar serta Ketua Kampung Mengatai Abu Bakar Mohamad.-EDISI UKAS