RM23,000 Diluluskan Bagi Naik Taraf Parkir Hospital Limbang
LIMBANG: Kerajaan Sarawak terus komited meningkatkan kemudahan awam dengan meluluskan sejumlah RM23,000 bagi kerja-kerja penambahbaikkan kawasan parkir di Hospital Limbang.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota, Datuk Dr. Abdul Rahman Ismail berkata, peruntukan tambahan tersebut disalurkan di bawah skim Minor Rural Project (MRP) untuk melaksanakan penambahbaikan segera terhadap kemudahan parkir sedia ada yang kini digunakan oleh orang awam, pesakit, pelawat serta kakitangan hospital.
Terdahulu, fasa pertama pembinaan kawasan parkir itu telah dilaksanakan menggunakan peruntukan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) 2025 berjumlah RM250,000 bagi menangani masalah kekurangan ruang parkir yang sekian lama dihadapi, termasuk oleh kakitangan Pejabat Kesihatan Bahagian Limbang.
Manakala fasa kedua pembinaan parkir berkenaan turut dirancang untuk dilaksanakan di bawah peruntukan RTP 2026 dengan anggaran kos RM300,000 yang bertujuan membesarkan lagi kawasan parkir sedia ada serta menyelesaikan isu kekurangan parkir secara lebih menyeluruh.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan tapak ke kawasan parkir hospital berkenaan pada Selasa.
Justeru, beliau berharap pelaksanaan fasa kedua kelak dapat memberi keselesaan berterusan kepada orang awam khususnya pesakit dan pelawat hospital, di samping meningkatkan kecekapan operasi harian kakitangan kesihatan.
Turut hadir wakil Residen Bahagian Limbang Awangku Mohd Shahrizan Mainizam Awgku Maidin, Pengarah Hospital Limbang Dr Nurain Yahya, Jurutera (Awam) Jabatan Kerja Raya(JKR) Limbang Nur Ain Abdul
Rahman dan Jurutera JKR Limbang Affizul Hashrapf Mola.-EDISI UKAS