Projek Tangki Air Tingkat Kualiti Bekalan Air Bersih Penduduk Tatau
TATAU: Projek penyediaan kemudahan asas dan penambahbaikan infrastruktur komuniti luar bandar terus diberi keutamaan menerusi pelaksanaan Projek Tangki Air Rumah Jelia serta Projek Tile Ruai Rumah Panjang Tedong di Jalan Sangan–Merit, di sini baru-baru ini.
Charlie Lunyong yang mewakili Ahli Parlimen Selangau Edwin Banta telah menyaksikan sesi penyerahan Projek Tangki Air kepada 16 pintu penduduk Rumah Jelia Anak Jelema di Lubuk Mengeris, sekali gus membantu memastikan bekalan air bersih yang lebih terjamin kepada komuniti setempat.
Dalam lawatan yang sama, beliau turut mengadakan lawatan pemantauan ke Projek Tile Ruai Rumah Panjang Tedong yang telah siap sepenuhnya, melibatkan 29 pintu rumah panjang.
Lawatan pemantauan tersebut bertujuan memastikan setiap peruntukan yang disalurkan dapat dilaksanakan dengan teratur, berkualiti serta benar-benar memberi manfaat kepada rakyat, khususnya penduduk luar bandar.
Kedua-dua projek berkenaan merupakan peruntukan daripada Ahli Parlimen Selangau sebagai sebahagian daripada usaha berterusan untuk memperkukuh kemudahan asas dan meningkatkan kesejahteraan hidup masyarakat luar bandar di kawasan Tatau.-EDISI UKAS