KUCHING: Tahun baharu 2026 wajar dijadikan landasan oleh seluruh rakyat Sarawak untuk memperkukuh iltizam, memperkemas pelaksanaan serta memastikan setiap perancangan dan usaha diterjemahkan kepada hasil yang memberi manfaat bersama.
Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar turut menekankan kepentingan semangat kebersamaan, saling menghormati serta pemeliharaan jalinan silaturahim sesama masyarakat sebagai asas kepada kestabilan, kemajuan dan kesejahteraan negeri.
"Tahun baharu ini juga diharapkan menjadi ruang untuk bermuhasabah, menyemai rasa kesyukuran dan melangkah ke hadapan dengan azam yang lebih kukuh demi masa depan Sarawak serta generasi akan datang," katanya dalam perutusan khas sempena Sambutan Tahun Baharu 2026 pada Rabu.
Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi bersama Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi turut menzahirkan ucapan selamat tahun baharu kepada seluruh rakyat Sarawak, disertai doa dan harapan agar tahun mendatang membawa ketenteraman, kejelasan hala tuju serta kekuatan jiwa kepada masyarakat.
Beliau turut mendoakan agar seluruh rakyat Sarawak dikurniakan kesihatan yang berpanjangan, keharmonian dalam kehidupan berkeluarga, kejayaan dalam setiap usaha serta suasana aman dan makmur yang berterusan.