Program Bantuan Persekolahan Kukuhkan Nilai Keterangkuman, Ringankan Beban Pelajar Kurang Berkemampuan
MIRI: Komitmen berterusan dalam memperkasa pendidikan dan kebajikan sosial terus dizahirkan menerusi penganjuran Majlis Penyampaian Bantuan Persekolahan Pelajar Kurang Berkemampuan Kali Ke-21 anjuran Persatuan Penganut Agama Buddha Orthodox Miri, yang berlangsung di Dewan Persatuan berkenaan di sini pada Rabu.
Majlis tahunan yang telah dilaksanakan secara konsisten selama lebih dua dekad itu dirasmikan oleh Datuk Bandar Bandaraya Miri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut, Adam Yii Siew Sang.
Dalam ucapannya, beliau merakamkan penghargaan kepada pihak penganjur atas sumbangan berterusan dalam membantu pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan tanpa mengira kaum dan agama, sekali gus mencerminkan nilai keterangkuman serta semangat perpaduan masyarakat majmuk di Miri.
Menurut beliau, usaha sedemikian bukan sahaja meringankan beban kewangan keluarga, malah memainkan peranan penting dalam membina masyarakat yang harmoni dan bersatu padu, selari dengan aspirasi pembangunan Miri sebagai bandar yang hijau, pintar dan berdaya huni.
“Pendidikan merupakan elemen terpenting dalam mengubah masa depan golongan kurang berkemampuan.
"Program seperti ini memberi peluang yang adil kepada anak-anak untuk terus berusaha mencapai kejayaan dan membina masa depan yang lebih cerah,” katanya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Penganut Agama Buddha Orthodox Miri, Master Sheng Lin berkata program bantuan persekolahan berkenaan dilaksanakan berlandaskan prinsip keprihatinan sosial dan tanggungjawab bersama terhadap pendidikan, yang dilihat sebagai asas utama dalam membentuk masa depan generasi muda.
Pada majlis tersebut, seramai 100 orang pelajar menerima sumbangan berupa alat tulis, beg sekolah, beras seberat lima kilogram serta baucar tunai bernilai RM100 bagi membantu persiapan persekolahan menjelang sesi akademik baharu.-EDISI UKAS