Infrastruktur, Pendidikan dan Kebajikan Terus Jadi Keutamaan Sarawak
KUCHING: Infrastruktur, pendidikan dan kebajikan terus menjadi keutamaan oleh Kerajaan Sarawak selaras dengan pelaksanaan Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) 2030 yang menjadi pemacu utama pembangunan negeri dalam era pasca pandemik.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, sepanjang tahun 2025 menyaksikan kemajuan yang jelas dalam pembangunan sosioekonomi yang membawa kesejahteraan kepada rakyat.
Menurutnya, lebih 1,000 kilometer jalan raya baharu dan dinaik taraf telah disiapkan termasuk kemajuan Lebuhraya Pan Borneo yang kini siap sepenuhnya pada bahagian utama, menjadikan perjalanan lebih selamat dan pantas serta membuka potensi pertumbuhan ekonomi di kawasan bandar dan luar bandar.
“Kualiti hidup rakyat turut dipertingkat melalui bekalan air bersih, liputan elektrik dan internet yang semakin meluas.
“Transformasi digital dipacu melalui pusat data bertaraf antarabangsa, penggunaan kecerdasan buatan (AI) dan ‘cloud’, serta sistem e-kerajaan yang lebih cekap dan mesra pengguna,” katanya dalam perutusan sempena Sambutan Ambang Tahun Baharu 2026 pada Rabu.
Premier Sarawak menambah, pembangunan modal insan menjadi teras kemajuan negeri menerusi pelaksanaan latihan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), penyediaan biasiswa dan pengenalan Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES) bermula 2026 yang memberi akses pendidikan berkualiti kepada anak Sarawak tanpa kekangan kewangan.
Selain itu jelasnya, Kerajaan Sarawak akan meneruskan pelaksanaan Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) dengan peruntukan yang lebih tinggi, iaitu RM640 juta pada tahun bagi meringankan beban kos sara hidup.
Tambahnya, Kerajaan Sarawak juga kekal komited memelihara hutan, sungai dan biodiversiti serta memperkukuh pembangunan tenaga bersih bagi memastikan kelestarian alam kekal terjaga untuk generasi akan datang. -EDISI UKAS