2026 Fasa Penting Sarawak Menuju Wilayah Maju 2030
KUCHING: Tahun 2026 menjadi fasa penting bagi Kerajaan Sarawak dalam usaha menuju wilayah maju 2030, dengan fokus kepada ekonomi berimpak tinggi dan pembangunan infrastruktur bagi masa hadapan.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg menjelaskan, tahun ini juga membawa sinar baharu dengan pengoperasian AirBorneo, yang akan meningkatkan kesalinghubungan udara serta merancakkan pelancongan, perdagangan dan mobiliti rakyat.
Namun begitu, beliau menegaskan, perpaduan rakyat Sarawak kekal menjadi kekuatan utama negeri ini.
“Kemajuan boleh dibina dengan teknologi dan modal, tetapi kekuatan sebenar Sarawak terbina daripada hati rakyatnya yang bersatu,” katanya dalam perutusan khas sempena Sambutan Ambang Tahun Baharu 2026 pada Rabu.
Datuk Patinggi Abang Zohari turut merakamkan penghargaan kepada kepimpinan dan seluruh rakyat Sarawak atas kerjasama sepanjang tahun ini dalam bersama membawa kemajuan.
Beliau berharap semoga semangat ini diteruskan pada 2026 dengan tekad yang lebih besar yang masih berpaksikan kepada rakyat Sarawak terutamanya pembangunan sosioekonomi yang membawa kesejahteraan kepada rakyat.
“Saya menyeru semua rakyat, tanpa mengira bangsa dan agama, untuk terus memelihara keharmonian dan perpaduan yang menjadi tunjang kekuatan Sarawak,” tambahnya. -EDISI UKAS