Perkhidmatan Awam Sarawak Diseru Kekal Berprestasi Tinggi Menjelang 2026
KUCHING: Warga Perkhidmatan Awam Sarawak diseru agar terus bermuhasabah, menilai pencapaian sepanjang 2025 serta mengekalkan momentum kecemerlangan perkhidmatan pada tahun mendatang.
Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki berkata, tahun 2025 merupakan fasa penting yang menuntut komitmen tinggi, keupayaan menyesuaikan diri serta kesungguhan berterusan dalam memastikan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat Sarawak dilaksanakan secara cekap dan berkesan.
“Pelbagai inisiatif telah dilaksanakan sepanjang tahun ini bagi memperkukuh keupayaan perkhidmatan awam, termasuk pembangunan kapasiti, pemantapan kepimpinan serta peningkatan kemahiran, sejajar dengan penekanan terhadap pendigitalan perkhidmatan, penggunaan data dalam membuat keputusan dan penambahbaikan kaedah kerja,” ujarnya.
Tegasnya, sinergi antara jabatan, agensi dan kementerian menjadi faktor utama keberkesanan pelaksanaan dasar kerajaan, selaras dengan budaya kerja berprestasi tinggi berteraskan prinsip ‘Revisit’, ‘Rethink’ dan ‘Recharge’.
“Pengalaman turun padang ke kawasan luar bandar dan pedalaman jelas memperlihatkan cabaran sebenar di peringkat pelaksanaan, sekali gus menuntut setiap dasar dan keputusan dibuat berpaksikan realiti di lapangan serta keperluan rakyat,” jelasnya.
Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh warga Perkhidmatan Awam Sarawak agar terus memperkukuh profesionalisme, integriti dan disiplin dalam melaksanakan amanah demi merealisasikan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.
Mengakhiri perutusannya, beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas dedikasi serta komitmen yang ditunjukkan oleh semua Perkhidmatan Awam Sarawak sepanjang tahun 2025.