Projek Sungai Sarawak 'Bypass' Dicadang Bermula Dari Batu Kawa
KUCHING: Projek mitigasi banjir Sungai Sarawak Bypass akan dicadangkan bermula dari Batu Kawa berbanding dari Laut China Selatan.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian berkata, projek mitigasi bernilai lebih RM2 bilion itu pada asalnya dimulakan dari arah Laut China Selatan.
Katanya, beliau akan berbincang dengan Timbalan Perdana Menteri Datuk Amar Fadillah Yusof supaya pembinaannya dimulakan dari Batu Kawa ke arah hilir dan bukannya dari Laut China Selatan menuju ke hulu seperti sekarang.
"Jika projek ini tidak dimulakan dengan cara yang betul, bukan sahaja kawasan Batu Kawa akan terjejas dengan banjir tetapi kawasan Datuk Amar Fadillah juga akan banjir kerana kawasan beliau berada lebih ke hilir sungai.
"Kawasan hilir nemang sudah banjir kerana jika di sini banjir maka Batu Kitang akan terjejas disebabkan air sungai akan mengalir dari bawah dan keluar ke kawasan tersebut," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melawat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan R-Piang, Kampung Sinar Budi Baru, Batu Kawa pada Rabu.
Difahamkan, projek Sungai Sarawak ini melibatkan pembinaan sungai baharu sepanjang lapan kilometer untuk mengurangkan 'kesesakan' Sungai Sarawak agar tidak dilimpahi air.
Sebelum ini, dua kilometer daripada projek tersebut telah disiapkan menghubungkan Laut China Selatan menuju ke Sungai Sarawak dan kini enam kilometer akan mula dibina tahun hadapan.
Dalam pada itu, Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian memberitahu, projek kolam takungan kering juga sedang digiatkan dijalankan di Batu Kawa untuk mengurangkan masalah banjir di kawasan ini dengan empat kolam dibina seluas 20 ekar.
Dalam hal ini, beliau berterima kasih kepada Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg yang memperuntukkan lebih RM200 juta untuk membina kolam tadahan ini sebagai sebahagian daripada usaha untuk menyelesaikan isu mitigasi banjir.
Sementara itu, PPS Dewan R-Piang, Kampung Sinar Budi Baru menempatkan lebih 181 mangsa banjir terdiri daripada 44 keluarga.
Datuk Amar Dr Sim juga berkesempatan melawat PPS di Dewan Masyarakat Stapok yang kini menempatkan 199 mangsa banjir terdiri daripada 54 keluarga. -EDISI UKAS
Disediakan oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Ahmad Daniel Faiz & Muhd Hisyam Arif