KUCHING: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) dari peringkat bahagian hingga ke daerah serta agensi kerajaan negeri yang berkaitan digesa agar bersiap siaga menghadapi banjir susulan bermulanya musim monsun di Sarawak.
Timbalan Premier Sarawak merangkap Pengerusi JPBNS Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, ia sebagai persiapan menghadapi risiko banjir yang lazimnya bermula pada Januari hingga Februari ekoran hujan berpanjangan.
"Kita minta rakyat bersedia dan kita juga meminta kawasan pedalaman melalui Pasukan Tindak Balas Kecemasan Komuniti (CERT) untuk turut bersiap siaga di kawasan yang jauh di mana agensi kerajaan tidak sempat tiba pada masanya di mana kita arahkan mereka untuk memastikan tindakan menyelamat nyawa diambil segera.
"Semua jabatan juga bersedia memberi sokongan termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang menyediakan makanan dan kelengkapan untuk memastikan mangsa selesa di Pusat Pemindahan Sementara (PPS)," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa melawat PPS Dewan Masyarakat Stapok, Batu Kawa pada Rabu.
Datuk Amar Douglas turut menasihati agar mangsa banjir berpindah apabila diarahkan demi kebaikan dan kebajikan mereka bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku.
Tambahnya, semua penduduk kawasan rendah juga diarahkan bersedia untuk sebarang kemungkinan yang akan berlaku disebabkan cuaca yang kurang menentu.
Mengulas mengenai Pangkalan Operasi Hadapan (FOB), Datuk Amar Douglas menjelaskan, Kerajaan Sarawak telah menyediakan pangkalan bekalan utama di Kota Samarahan dan beberapa pangkalan mini di beberapa lokasi.
Katanya, kerajaan juga mempunyai pembekal di setiap pangkalan di seluruh negeri supaya bekalan dapat dihantar apabila diperlukan.
"Kita belajar daripada pengalaman tahun lalu, ketika banjir besar di Bintulu sehingga kita berdepan masalah menghantar tilam dan lain-lain keperluan.
"Justeru, kita berharap cuaca tidak terlalu ekstrem sehingga hujan tertumpu di satu kawasan dan menyebabkan banjir besar.
"Namun, kita bersedia dan telah menasihati agar pembekal berada di beberapa lokasi termasuk luar bandar di Sarawak," jelasnya.
Sementara itu, Datuk Amar Douglas memberitahu, terdapat dua PPS dibuka di Sarawak akibat hujan yang tidak berhenti sejak semalam sehingga hari ini.
PPS yang dibuka adalah PPS Dewan R-Piang, Kampung Sinar Budi Baru menempatkan 181 mangsa banjir terdiri daripada 44 keluarga serta PPS Dewan Masyarakat Stapok yang kini menempatkan 199 mangsa banjir terdiri daripada 54 keluarga.
Hadir sama, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran) merangkap Timbalan Pengerusi JPBNS Datu Buckland Bangik. -EDISI UKAS