Sarawak Countdown 2026 Cipta Sejarah Guinness World Records GPS Terpanjang Relay Dron
KUCHING: Sarawak sekali lagi mengukir sejarah di pentas antarabangsa apabila berjaya mencatat rekod dunia Guinness World Records (GWR) bagi Perjalanan GPS Terpanjang Menggunakan Relay Dron, dari Tanjung Datu di selatan hingga Lawas di utara, merangkumi 128 segmen penerbangan.
Pengiktirafan berprestij itu diumumkan dalam segmen rasmi Sarawak Countdown 2026 yang berlangsung meriah di Tebingan Sungai Kuching, sekali gus menandakan kemuncak sambutan Ambang Tahun Baharu 2026 yang menghimpunkan ribuan pengunjung.
Majlis penyampaian sijil rekod dunia itu disempurnakan oleh Pegawai Penilai Rasmi Guinness World Records, Jacob Yip Chiong Wai, kepada Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Kejayaan tersebut bukan sekadar pencapaian teknikal, malah menjadi simbol kesatuan, disiplin dan keyakinan rakyat Sarawak dalam meneroka potensi baharu teknologi kreatif serta promosi pelancongan berskala dunia.
Inisiatif ini turut memperkukuh naratif Sarawak sebagai “Gateway to Borneo”, selari dengan aspirasi negeri untuk tampil lebih berdaya saing di peringkat global.
Segmen bersejarah itu dianjurkan dengan kerjasama Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) dan diserikan dengan pelancaran filem khas dron yang memaparkan keindahan alam semula jadi, kepelbagaian budaya serta pembangunan moden Sarawak, disusuli pertunjukan visual dan cahaya yang memukau.
Sambutan Countdown 2026 yang bertemakan “Let Celebrate Together” turut dimeriahkan dengan persembahan artis tempatan, nasional dan antarabangsa, selain pertunjukan bunga api berirama yang menandakan peralihan rasmi ke Tahun Baharu 2026.
Pencapaian ini dilihat sebagai pemangkin baharu kepada sektor pelancongan dan industri kreatif Sarawak, sekali gus mengukuhkan imej negeri ini sebagai destinasi inovatif, berkeyakinan dan bersedia menyambut dunia.-EDISI UKAS