TYT Sarawak dan Isteri Santuni Rakyat di Countdown 2026
KUCHING: Kehadiran Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi menyemarakkan sambutan Sarawak Countdown 2026 yang berlangsung meriah di Tebingan Sungai Kuching pada malam Rabu.
Keberangkatan tiba Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi dan Toh Puan pada jam 11.30 malam disambut dengan penuh istiadat, mencerminkan keakraban kepimpinan negeri bersama rakyat berbilang kaum yang membanjiri kawasan tersebut bagi menyambut detik peralihan tahun baharu 2026 bersama-sama.
Cuaca hujan tidak merencatkan kemeriahan sambutan apabila TYT Sarawak menyempurnakan gimik countdown sebaik tiba detik tengah malam, diiringi pertunjukan cahaya laser dan bunga api berirama yang menerangi ruang langit Bandaraya Kuching.
Detik simbolik itu menzahirkan semangat kebersamaan serta aspirasi Sarawak untuk melangkah lebih maju, makmur dan bersatu pada tahun baharu.
Sambutan bertemakan “Let’s Celebrate Together” itu turut menampilkan rangkaian persembahan artis tempatan dan popular, termasuk segmen khas yang mengangkat bakat Sarawak, di samping persembahan artis terkenal tanah air dan antarabangsa.
Program yang bermula sejak petang tadi dirangka sebagai pesta rakyat yang inklusif, selamat dan berunsur kekeluargaan dengan hiburan daripada artis-artis Sarawak, Meerazada, Carrie Geres, Mawat, Chien, Jolly Jengan, Razali dan Meruked.
Ia dihangatkan lagi dengan hiburan dari artis Malaysia antaranya KRU, Dayang Nurfaizah, Jatt Ali dan Naqiu serta penyanyi popular dari Indonesia, Judika, diiringi oleh Agura Band dan persembahan tarian di bawah seliaan Majlis Seni Sarawak.
Keberangkatan pulang TYT Sarawak dan isteri selepas acara kemuncak menutup tirai sambutan kali ini yang bukan sahaja menjadi pentas hiburan, malah wadah memperkukuh perpaduan serta iltizam kepimpinan negeri untuk terus mendekati rakyat dalam suasana yang penuh muhibah.
Hadir sama, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Professor Dr Sim Kui Hian bagi mewakili Premier Sarawak, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak merangkap Menteri Bertanggungjawab Sambutan Tahun Baru 2026 Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Kerja Raya Dato Sri Alexander Nanta Linggi, isteri dif-dif kenamaan dan ketua-ketua jabatan yang hadir.-EDISI UKAS