Pembinaan Jajaran Jalan Baharu Ke Kampung Sawai Bermula 2026
DARO: Pembinaan jajaran jalan baharu menghubungkan ke Kampung Sawai telah diluluskan dengan peruntukan berjumlah RM65 juta dengan pembinaan dijadualkan bermula tahun ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro Dr Safiee Ahmad berkata, jajaran jalan berkenaan disifatkan sebagai projek berimpak tinggi yang bakal meningkatkan tahap perhubungan serta akses penduduk luar bandar, selain menjadi pemangkin kepada pembangunan sosioekonomi setempat.
“Pembinaan jajaran jalan ini amat penting untuk memudahkan pergerakan penduduk, melancarkan urusan harian serta membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada masyarakat Kampung Sawai dan kawasan sekitarnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Sambutan Krismas 2025 serta Penyampaian Cek Bantuan Dana Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) St Cosmas Chapel Kampung Sawai, Matu pada Rabu.
Dalam pada itu, Dr Safiee turut menyampaikan cek bantuan UNIFOR berjumlah RM350,000 bagi tujuan penyelenggaraan serta penambahbaikan kemudahan rumah ibadat St Cosmas Chapel Kampung Sawai.
Jelasnya, penyaluran bantuan itu mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Sarawak dalam memastikan kebajikan dan keharmonian penganut pelbagai agama sentiasa terpelihara.
Selain itu, beliau turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM450,000 bagi menaik taraf Dewan Kampung Sawai, yang akan berfungsi sebagai pusat aktiviti kemasyarakatan, sosial dan kebudayaan penduduk setempat. -EDISI UKAS