Karnival Sukan Saberkas Tellian Tutup Tirai Dengan Meriah
MUKAH: Karnival Sukan Saberkas (KASUS) Cawangan Tellian 2025 yang berlangsung di Stadium Mukah melabuhkan tirainya dengan penuh kemeriahan sekali gus menjadi program penutup rasmi bagi aktiviti Saberkas Cawangan Tellian untuk sepanjang tahun 2025.
Majlis penutupan rasmi karnival itu disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine yang turut meluangkan masa menyertai pelbagai acara serta menyantuni para peserta sejak awal pagi Rabu.
Menurut beliau, penganjuran karnival berkenaan bukan sahaja bertujuan mencungkil bakat sukan dalam kalangan belia, malah menjadi platform penting untuk memperkukuh perpaduan, semangat kesukanan dan kerjasama antara unit-unit Saberkas di sekitar DUN Tellian.
Sepanjang penganjuran karnival, pelbagai acara sukan dipertandingkan merangkumi acara olahraga dan balapan serta sukaneka, dengan penyertaan membabitkan 10 unit Saberkas dari seluruh kawasan DUN Tellian.
Antara acara yang dipertandingkan ialah 100 meter lelaki dan wanita, 200 meter lelaki dan wanita, lari berganti-ganti 4x100 meter, tarik tali lelaki dan wanita, selain acara sukaneka seperti isi air dalam botol, bowling kelapa serta pecah belon berkumpulan.
Unit Saberkas Kampung Penat muncul sebagai Juara Keseluruhan karnival, manakala Gerakan Mesra Wanita Tellian (GEMA 57) dinobatkan sebagai Kontinjen Paling Sporting. -EDISI UKAS